Friday 11 January 2013

Pelaksanaan 4 inisiatif PPPM dlm 100 hari pertama 2013


Putrajaya - Kementerian Pelajaran akan memberi tumpuan utama terhadap empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan program 'School Improvement Partners (SI Partners) Plus and School Improvement Specialist Coaches (SISC) plus' di Kedah dan Sabah dalam usaha membimbing guru bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutamanya di sekolah-sekolah yang berada dalam Band lima, enam dan tujuh.

"Kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru. Misalnya melalui SISC plus guru berpeluang mendapat latihan in situ secara langsung mengikut keperluan mereka," katanya semasa menyampaikan perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dan kemudian guru akan dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian mereka.

"Bagi guru-guru yang tidak mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini kementerian akan bersedia untuk melatih 5,000 guru BI," katanya.


Sambil menyifatkan awal tahun 2013 sebagai satu tempoh yang kritikal, Muhyiddin berkata inisiatif Sarana Ibu Bapa ke 10,000 sekolah untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan kerjasama dalam kalangan ibu bapa juga akan dilaksanakan.

Inisiatif kempat pula ialah melancarkan Video e-Guru untuk ditonton di semua sekolah dan akan mula diperkenalkan pada bulan ini menerusi program pembangunan profesionalisme baharu dengan mewujudkan perpustakaan video e-Guru yang menyediakan koleksi contoh pengajaran terbaik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...