Tuesday 8 January 2013

Sekapur Sirih Seulas Pinang


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Rakan-rakan Guru Besar yang saya hormati,

Alhamdullillah minggu ini merupakan minggu kedua kita memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2013 yang diharapkan menjanjikan tahun yang lebih cemerlang berbanding tahun-tahun yang telah dilalui. Setinggi-tinggi tahniah kepada semua guru besar yang telah dapat mengharungi tahun 2012 dengan penuh ketabahan mengurus dan memimpin sekolah sehingga berjaya menempa kejayaan manis dalam pelbagai bidang pendidikan dipelbagai peringkat. Paling manis dan membanggakan yang dapat ditumpang oleh seluruh kepimpinan pendidikan di daerah Muar ialah pengiktirafan SK Bandar Maharani, Muar sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi yang merupakan pengiktirafan paling berprestij di persada pendidikan negara kita Malaysia. Dengan demikian daerah Muar telah berjaya melahirkan dua buah sekolah rendah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBP) setelah SK Convent, Muar menerima pengiktirafan yang sama pada tahun 2011(kohort 2). Sekolah Menengah Sains Muar (SAMURA) juga merupakan Sekolah Berprestasi Tinggi kohort 2(2011). Adalah menjadi aspirasi Majlis Guru Besar Muar, pengiktirafan kepada sekolah-sekolah seperti SBP, sekolah penerima bai’ah (new-deal), dan pengiktirafan-pengiktirafan tertinggi yang lain terus diraih malah bertambah dari semasa ke semasa.  Berpegang kepada kunci kejayaan iaitu usaha gigih sekolah yang tidak mengenal erti penat lelah, kerjasama erat antara rakan-rakan, sokongan dan dokongan yang berterusan dari Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Johor adalah antara menu utama yang perlu dipertingkatkan bagi menentukan kegemilangan terus di dalam genggaman.

Inisiatif awal Pejabat Pelajaran Daerah Muar dan Majlis Guru Besar bagi memastikan sistem pengurusan dan kepemimpinan sekolah tetap berada di landasan yang tepat bagi memacu sekolah ke arah yang lebih dinamik di samping melestarikan keutuhan kepimpinan sedia ada  beberapa taklimat penting kepada semua guru besar  seperti Mengawal Masa Instruksional(MMI), Kolokium Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS), Penghayatan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia(SKPM Versi 2010) dan Standard Pengurusan Sekolah Kualiti (SPSK), dan Taklimat Persediaan Menjelang 2013 yang antara lain merungkai JOHOR LEADS dan MUAR NUMBER ONE oleh Pegawai Pelajaran Daerah Muar telah dilaksanakan.
Rakan-rakan yang dihormati.

Tahun 2013 yang akan kita lalui adalah tahun pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menjelang 2025. Di dalamnya mengandungi 3 Gelombang, 5 Aspirasi Utama Sistem Pendidikan, 6 Aspirasi Utama Murid, 9 Bidang Keberhasilan Utama, dan 11 Anjakan sewajarnya telah mula sebati dalam pengetahuan kepimpinan sekolah khususnya para guru besar, malah telah dipastikan tersebar luas ke seluruh warga sekolah sebagai permulaan langkah perlaksanaan.

High Order Thinking Skills (HOTS) yang merupakan kesinambungan Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) serta inovasi menjadi teras dalam KSSR  adalah diharapkan merupakan outcomes utama transformasi pendidikan negara. Selain itu, faktor kemenjadian murid yang berpengetahuan,berkemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa, etika dan kerohanian dan beridentiti nasional adalah menjadi cabaran serta kewajipan bagi kita selaku gurubesar menentukan ianya menjadi realiti.

Akhirnya, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sepenuh komitmen hingga tercapai objektif pendidikan  daerah Muar 2012 dalam  bidang  akademik, kokurikulum, juga tidak ketinggalan aspek pembangunan potensi murid.  Apa jua kekurangan dan kelemahan sepakat kita atasi. Kepada semua rakan guru besar di sekolah mahupun yang telah ditempatkan di sekolah yang baru marilah kita gandakan usaha, merencana idea menggembeleng tenaga bersatu seluruh warga sekolah. dan rakan-rakan guru besar demi cita-cita menggapai KEGEMILANGAN.

Salam Hormat Dari Saya:
Hj Mas’ood Bin Hj Idris.
Pengerusi
Majlis Guru Besar Daerah Muar,Johor

7 Januari 2013.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...