Monday 28 January 2013

KISAH SEEKOR KUPU KUPU


 
Seorang lelaki telah menemui kepompong kupu-kupu di tengah jalan. Ada lubang kecil pada kepompong itu. Dia duduk mengamati lubang itu dan melihat ada kupu-kupu cuba berjuang untuk membebaskan diri melalui lubang kecil itu. Kemudian kupu-kupu itu berhenti mencuba. Ia kelihatan telah berusaha sedaya upaya dan kini tidak mampu untuk melakukan lebih jauh lagi. Akhirnya lelaki tersebut mengambil keputusan untuk membantu kupu-kupu tersebut. Dia mengambil gunting dan memotong sisa kekangan dari kepompong itu. Kupu-kupu tersebut keluar dengan mudahnya. Namun, dia mempunyai tubuh gembung dan kecil, sayap-sayapnya berkeriut. Lelaki tersebut terus mengamatinya sambil berharap sayap-sayap itu akan mekar dan melebar sehingga mampu menampung tubuh kupu-kupu itu, yang mungkin akan berkembang seiring dengan berjalannya waktu. Namun, harapannya hanya tinggal harapan.

Hakikatnya, kupu-kupu itu terpaksa menghabiskan sisa hidupnya merangkak di sekitarnya dengan tubuh gembung dan sayap-sayap berkeriut dan tidak sempurna. Dia tidak pernah mampu terbang. Lelaki yang membantu kupu-kupu tersebut tidak mengerti bahawa kupu-kupu tersebut perlu berjuang dengan daya usahanya sendiri untuk membebaskan diri dari kepompongnya. Lubang kecil yang perlu dilalui kupu-kupu tersebut akan memaksa cairan dari tubuh kupu-kupu itu ke dalam sayap-sayapnya sehingga dia akan siap terbang dan memperoleh kebebasan dari kepompong tersebut.

Kadang-kadang perjuangan adalah suatu yang kita perlukan dalam hidup kita. Jika Tuhan membiarkan kita hidup tanpa ranjau dan perjuangan, kita mungkin akan jadi lemah dan tak tahan ujian. Kita mungkin tidak kuat untuk menghadapi rintangan bagi mencapai cita-cita dan harapan yang kita idamkan.Kita mungkin tidak akan pernah dapat 'terbang' jauh.
Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kita memohon kekuatan dan keteguhan hati...Dan Tuhan memberi kita dugaan dan ujian untuk membuat kita kuat dan cekal..

Kita memohon kebijaksanaan... Dan Tuhan memberi kita pelbagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana dan matang. Kita memohon kemakmuran... Dan Tuhan memberi kita akal dan tenaga untuk dipergunakan sepenuhnya bagi mencapai kemakmuran. Kita memohon cinta...Dan Tuhan memberi kita orang-orang bermasalah untukdiselamatkan dan dicintai. Kita memohon kemurahan rezeki dan kebaikan hati...Dan Tuhan memberi kita kesempatan-kesempatan yang silih berganti.

Begitulah cara Tuhan membimbing Kita... Adakah jika saya tidak memperoleh apa yang saya idamkan, bererti bahawa saya tidak mendapatkan segala yang saya inginkan? Kadang-kadang Tuhan tidak memberikan apa yang kita minta, tapi dengan pasti Tuhan memberikan yang terbaik untuk kita, kebanyakan kita tidak dapat melihat hikmah di sebaliknya, bahkan tidak mahu menerima rencana Tuhan, padahal itulah yang terbaik untuk kita.

sumber

Thursday 24 January 2013

MMI

rakan2 guru, boleh download bahan bacaan MMI...banyak info2 berguna...kredit to A Faris Johan

Download di sini

Friday 11 January 2013

Pelaksanaan 4 inisiatif PPPM dlm 100 hari pertama 2013


Putrajaya - Kementerian Pelajaran akan memberi tumpuan utama terhadap empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan program 'School Improvement Partners (SI Partners) Plus and School Improvement Specialist Coaches (SISC) plus' di Kedah dan Sabah dalam usaha membimbing guru bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutamanya di sekolah-sekolah yang berada dalam Band lima, enam dan tujuh.

"Kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru. Misalnya melalui SISC plus guru berpeluang mendapat latihan in situ secara langsung mengikut keperluan mereka," katanya semasa menyampaikan perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dan kemudian guru akan dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian mereka.

"Bagi guru-guru yang tidak mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini kementerian akan bersedia untuk melatih 5,000 guru BI," katanya.


Sambil menyifatkan awal tahun 2013 sebagai satu tempoh yang kritikal, Muhyiddin berkata inisiatif Sarana Ibu Bapa ke 10,000 sekolah untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan kerjasama dalam kalangan ibu bapa juga akan dilaksanakan.

Inisiatif kempat pula ialah melancarkan Video e-Guru untuk ditonton di semua sekolah dan akan mula diperkenalkan pada bulan ini menerusi program pembangunan profesionalisme baharu dengan mewujudkan perpustakaan video e-Guru yang menyediakan koleksi contoh pengajaran terbaik.

Tuesday 8 January 2013

Sekapur Sirih Seulas Pinang


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Rakan-rakan Guru Besar yang saya hormati,

Alhamdullillah minggu ini merupakan minggu kedua kita memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2013 yang diharapkan menjanjikan tahun yang lebih cemerlang berbanding tahun-tahun yang telah dilalui. Setinggi-tinggi tahniah kepada semua guru besar yang telah dapat mengharungi tahun 2012 dengan penuh ketabahan mengurus dan memimpin sekolah sehingga berjaya menempa kejayaan manis dalam pelbagai bidang pendidikan dipelbagai peringkat. Paling manis dan membanggakan yang dapat ditumpang oleh seluruh kepimpinan pendidikan di daerah Muar ialah pengiktirafan SK Bandar Maharani, Muar sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi yang merupakan pengiktirafan paling berprestij di persada pendidikan negara kita Malaysia. Dengan demikian daerah Muar telah berjaya melahirkan dua buah sekolah rendah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBP) setelah SK Convent, Muar menerima pengiktirafan yang sama pada tahun 2011(kohort 2). Sekolah Menengah Sains Muar (SAMURA) juga merupakan Sekolah Berprestasi Tinggi kohort 2(2011). Adalah menjadi aspirasi Majlis Guru Besar Muar, pengiktirafan kepada sekolah-sekolah seperti SBP, sekolah penerima bai’ah (new-deal), dan pengiktirafan-pengiktirafan tertinggi yang lain terus diraih malah bertambah dari semasa ke semasa.  Berpegang kepada kunci kejayaan iaitu usaha gigih sekolah yang tidak mengenal erti penat lelah, kerjasama erat antara rakan-rakan, sokongan dan dokongan yang berterusan dari Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Johor adalah antara menu utama yang perlu dipertingkatkan bagi menentukan kegemilangan terus di dalam genggaman.

Inisiatif awal Pejabat Pelajaran Daerah Muar dan Majlis Guru Besar bagi memastikan sistem pengurusan dan kepemimpinan sekolah tetap berada di landasan yang tepat bagi memacu sekolah ke arah yang lebih dinamik di samping melestarikan keutuhan kepimpinan sedia ada  beberapa taklimat penting kepada semua guru besar  seperti Mengawal Masa Instruksional(MMI), Kolokium Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS), Penghayatan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia(SKPM Versi 2010) dan Standard Pengurusan Sekolah Kualiti (SPSK), dan Taklimat Persediaan Menjelang 2013 yang antara lain merungkai JOHOR LEADS dan MUAR NUMBER ONE oleh Pegawai Pelajaran Daerah Muar telah dilaksanakan.
Rakan-rakan yang dihormati.

Tahun 2013 yang akan kita lalui adalah tahun pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menjelang 2025. Di dalamnya mengandungi 3 Gelombang, 5 Aspirasi Utama Sistem Pendidikan, 6 Aspirasi Utama Murid, 9 Bidang Keberhasilan Utama, dan 11 Anjakan sewajarnya telah mula sebati dalam pengetahuan kepimpinan sekolah khususnya para guru besar, malah telah dipastikan tersebar luas ke seluruh warga sekolah sebagai permulaan langkah perlaksanaan.

High Order Thinking Skills (HOTS) yang merupakan kesinambungan Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) serta inovasi menjadi teras dalam KSSR  adalah diharapkan merupakan outcomes utama transformasi pendidikan negara. Selain itu, faktor kemenjadian murid yang berpengetahuan,berkemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa, etika dan kerohanian dan beridentiti nasional adalah menjadi cabaran serta kewajipan bagi kita selaku gurubesar menentukan ianya menjadi realiti.

Akhirnya, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sepenuh komitmen hingga tercapai objektif pendidikan  daerah Muar 2012 dalam  bidang  akademik, kokurikulum, juga tidak ketinggalan aspek pembangunan potensi murid.  Apa jua kekurangan dan kelemahan sepakat kita atasi. Kepada semua rakan guru besar di sekolah mahupun yang telah ditempatkan di sekolah yang baru marilah kita gandakan usaha, merencana idea menggembeleng tenaga bersatu seluruh warga sekolah. dan rakan-rakan guru besar demi cita-cita menggapai KEGEMILANGAN.

Salam Hormat Dari Saya:
Hj Mas’ood Bin Hj Idris.
Pengerusi
Majlis Guru Besar Daerah Muar,Johor

7 Januari 2013.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...