Assalamualaikum dan selamat
sejahtera.
Rakan-rakan Guru Besar yang saya
hormati,
Alhamdullillah minggu ini merupakan minggu kedua kita
memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2013 yang diharapkan menjanjikan tahun
yang lebih cemerlang berbanding tahun-tahun yang telah dilalui. Setinggi-tinggi
tahniah kepada semua guru besar yang telah dapat mengharungi tahun 2012 dengan
penuh ketabahan mengurus dan memimpin sekolah sehingga berjaya menempa kejayaan
manis dalam pelbagai bidang pendidikan dipelbagai peringkat. Paling manis dan
membanggakan yang dapat ditumpang oleh seluruh kepimpinan pendidikan di daerah
Muar ialah pengiktirafan SK Bandar Maharani, Muar sebagai Sekolah Berprestasi
Tinggi yang merupakan pengiktirafan paling berprestij di persada pendidikan negara
kita Malaysia .
Dengan demikian daerah Muar telah berjaya melahirkan dua buah sekolah rendah
Sekolah Berprestasi Tinggi (SBP) setelah SK Convent, Muar menerima
pengiktirafan yang sama pada tahun 2011(kohort 2). Sekolah Menengah Sains Muar
(SAMURA) juga merupakan Sekolah Berprestasi Tinggi kohort 2(2011). Adalah
menjadi aspirasi Majlis Guru Besar Muar, pengiktirafan kepada sekolah-sekolah
seperti SBP, sekolah penerima bai’ah (new-deal),
dan pengiktirafan-pengiktirafan tertinggi yang lain terus diraih malah bertambah
dari semasa ke semasa. Berpegang kepada
kunci kejayaan iaitu usaha gigih sekolah yang tidak mengenal erti penat lelah,
kerjasama erat antara rakan-rakan, sokongan dan dokongan yang berterusan dari
Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Johor adalah antara menu utama
yang perlu dipertingkatkan bagi menentukan kegemilangan terus di dalam
genggaman.
Inisiatif awal Pejabat Pelajaran Daerah Muar dan Majlis Guru Besar
bagi memastikan sistem pengurusan dan kepemimpinan sekolah tetap berada di landasan
yang tepat bagi memacu sekolah ke arah yang lebih dinamik di samping
melestarikan keutuhan kepimpinan sedia ada beberapa taklimat penting kepada semua guru besar
seperti Mengawal Masa Instruksional(MMI),
Kolokium Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS), Penghayatan Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia(SKPM Versi 2010) dan Standard Pengurusan Sekolah Kualiti
(SPSK), dan Taklimat Persediaan Menjelang 2013 yang antara lain merungkai JOHOR
LEADS dan MUAR NUMBER ONE oleh Pegawai Pelajaran Daerah Muar telah
dilaksanakan.
Rakan-rakan yang dihormati.
Tahun 2013 yang akan kita lalui adalah tahun pertama Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menjelang 2025. Di dalamnya mengandungi
3 Gelombang, 5 Aspirasi Utama Sistem Pendidikan, 6 Aspirasi Utama Murid, 9
Bidang Keberhasilan Utama, dan 11 Anjakan sewajarnya telah mula sebati dalam
pengetahuan kepimpinan sekolah khususnya para guru besar, malah telah dipastikan
tersebar luas ke seluruh warga sekolah sebagai permulaan langkah perlaksanaan.
High Order Thinking
Skills (HOTS) yang merupakan kesinambungan Kemahiran Berfikir Kritis dan
Kreatif (KBKK) serta inovasi menjadi teras dalam KSSR adalah diharapkan merupakan outcomes utama transformasi pendidikan negara.
Selain itu, faktor kemenjadian murid yang berpengetahuan,berkemahiran memimpin,
kemahiran dwi bahasa, etika dan kerohanian dan beridentiti nasional adalah menjadi
cabaran serta kewajipan bagi kita selaku gurubesar menentukan ianya menjadi realiti.
Akhirnya, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima
kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sepenuh komitmen hingga tercapai
objektif pendidikan daerah Muar 2012 dalam bidang akademik, kokurikulum, juga tidak ketinggalan
aspek pembangunan potensi murid. Apa jua
kekurangan dan kelemahan sepakat kita atasi. Kepada semua rakan guru besar di
sekolah mahupun yang telah ditempatkan di sekolah yang baru marilah kita
gandakan usaha, merencana idea menggembeleng tenaga bersatu seluruh warga
sekolah. dan rakan-rakan guru besar demi cita-cita menggapai KEGEMILANGAN.
Salam Hormat Dari Saya:
Hj Mas’ood Bin Hj Idris.
Pengerusi
Majlis Guru Besar
Daerah Muar,Johor
7 Januari 2013.
No comments:
Post a Comment