Saya tidak mungkin melupakan segala-galanya sehingga roh berpisah dari jasad saya. 21 Mei 2006, lebih kurang jam 2.05 petang.
Sungguh
Malaikat Izrail memasuki dalam kereta dan mencabut dua nyawa yang berada disisi
saya. Cumanya ketika itu bukan giliran. Saya kira semua orang tidak
menginginkannya termasuk saya. Kemalangan yang menjadi kejutan kepada golongan
guru seluruh Negara. Dua tiga akhbar utama menyiarkan berita itu. Pada ketika
itu perjalanan kami dari Johor Bharu ke Segamat usai latihan/pemilihan sepak
takraw negeri Johor dan saya akan membawa skuad Johor ke peringkat kebangsaan
yang akan berlangsung di Perak seingat saya. Fasa
pertama latihan dan kami akan pulang dua malam ke rumah sebelum datang semula
ke Johor Bahru untuk latihan selanjutnya. Namun segala-galanya ternoktah di
atas lebuhraya utara selatan KM 50.2. Bermulalah satu perjalanan yang mencabar
tetapi cukup mendewasakan. Menjadikan saya lebih berani dari semalam termasuk
bercakap secara direct dengan ‘orang-orang besar’ dalam hirarki pentadbiran
pelajaran negeri Johor.
Kata
Nisah Harun dalam novel ‘Mencari Locus Standi’ tentang mahkamah; tiada yang
menggembirakan di daerah ini. Tiada siapa yang mahu datang ke tempat ini andai
tidak dipaksa atau terpaksa. Mahkamah jadi tempat yang perlu disiahkan,
seolah-olah sekali melangkah ke sini akan sial sepanjang hayat!” Ayat ini
membekas dalam diri saya. Segalanya menjadikan saya mesra dengan bahan bacaan
berkaitan undang-undang, pekeliling-pekeliling perkhidmatan awam berkaitan
tahan kerja, tatatertib dan lain-lain.
Ya!
Segalanya ada hikmah dan mendidik. Dua tahun saya turun naik mahkamah Kluang.
Hari pertama memasuki mahkamah 14 April 2007, cukup mengerikan apatah lagi
hadir tanpa wang jaminan. Ketika itu saya tidak faham bahawa seseorang yang
didakwa di bawah seksyen 41 (1) AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 yang jika tertuduh
disabitkan dengan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM5000
dan tidak lebih RM20,000, penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih
sepuluh tahun (Act A 1065) mana-mana individu yang menghadapi pertuduhan sedemikian
perlu hadir ke mahkamah dengan wang jaminan paling kurang RM5000 ( bergantung
budi bicara Majistret)
Saya
tahu sekiranya saya menulis secara tuntas dan sehabis jujur akan banyak pihak
yang tersinggung. (Jadi saya cuba untuk tidak menyentuh banyak pihak)
Sementelah kes saya ini akhirnya dibela oleh KESATUAN PERKHIDMATAN PERGURUAN
KEBANGSAAN (KPPK) dalam bahasa Inggerisnya di sebut National Union Teachers
Progress (NUTP). Termasuk tekanan yang diberikan kepada saya, apabila menulis
satu artikel di dalam Buletin KPPK keluaran Oktober 2007. Ekoran itu satu surat
cadangan kepada pihak Lembaga tatatertib telah dihantar bertujuan mencadangkan
saya ditahan kerja. (Saya tidak mahu menyebut siapa yang mencadangkan saya
ditahan kerja, segelintir guru di Johor dan orang-orang kuat KPPK mengetahuinya
dan yang pastinya individu itu telah bersara)
Sila
rujuk pekeliling perkhidmatan awam bahawa seseorang penjawat awam yang ditahan
kerja akan menerima separuh dari emolumennya setiap bulan. Ketika itu, jika
tidak silap saya setelah ditolak hutang rumah, pinjaman peribadi, simpanan dan
insurans, saya hanya layak menerima RM72.15 sahaja. Namun keyakinan kepada
Allah, prinsip berani kerana benar, rahsia surah An-Nur, Muhammad, Thoha
terbukti benar. Sungguh kenikmatan berdoa lebih dirasai apabila kita diuji
berbanding jika kita berdoa dalam keadaan senang. Bukanlah maksudnya kita tidak
berdoa tetapi percayalah! orang yang berdoa dalam keadaan terdesak antara hidup
dan mati, bebas dan dipenjara, ditamat atau tidak kerjaya akan lebih
bersungguh-sungguh menjejaki dasar hati.
Saya
masih sentiasa teringat selepas solat tentang kenikmatan berdoa ketika saya di
dalam keadaan yang cukup menguji itu. Alhamdulilah! Ya Allah kekalkanlah
kenikmatan berdoa itu kepadaku dan seluruh umat Islam.
Isu
tahan kerja saya mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung KPPK Miss
Loke Yim Pheng, bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Johor Tuan Haji Jamian Jaafar
(telah bersara), Mr Chaw Tah Soo wakil KPPK Segamat), pengetua saya pada ketika
itu Puan Hajjah Muriatun Mohd Said yang menyebelahi saya. Lalu maafkan saya Tan
Sri menulis secara jujur berkaitan cadangan tahan kerja. Saya juga mengucapkan
terima kasih kepada Dato’ Haji Kusaini Bin Haji Hasbullah (Bahagian
tatatertib), dan orang yang memahami cerita ini Tan Sri Dr. Zulkurnain Bin Haji
Awang (ketua Setiausaha, Kementerian Pelajaran Malaysia) yang menolak cadangan
tahan kerja tersebut. Kepada Miss Loke yang menjalankan amanah sebagai Setiausaha
Agung KPPK yang mempertahankan saya dengan bercakap secara bertentang empat
mata dengan ‘kepimpinan atas’ Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bayangkan
jika cikgu berada di tempat saya. Sedangkan perjalanan saya adalah urusan tugas
rasmi. Bawa murid-murid dengan bersurat arahan. Saya masih menyimpan segalanya
(satu fail lengkap dan segala catatan peribadi turun naik mahkamah dari hari
pertama hingga hari terakhir, yang jika saya turunkan segalanya di dalam blog
ini; akan ada pihak yang tersinggung atau mahu marah dengan catatan jujur
tersebut), malahan orang yang menandatangi surat itu juga masih hidup dan saya
sendiri pernah bersemuka dengannya apabila dalam satu majlis, beliau
memburukkan cara pemergian saya…….. (sukar untuk saya menuliskannya… terasa kelopak
mata ini panas! Ya Allah berikanlah aku kekuatan menghadapi tipu daya dunia
yang penuh dengan kepalsuan ini).
Saya
tahu seorang guru tidak kebal dari segi undang-undang. namun ada bebrapa
perkara berkaitan hal kebajikan seorang guru yang membawa murid ke tempat
pertandingan, latihan atau apa sahaja yang perlu diambilberat oleh pihak
berwajib.
Sungguh
besar pengajaran yang Allah berikanlah! Andainya satu masa kita sebagai guru
biasa menjawat jawatan tinggi ingatlah kebajikan dan keselamatan terhadap
‘anak-anak buah’ kita adalah satu amanah yang besar. Jika tidak yakin dengan
hujah saya ini bacalah kitab yang berjudul “UMAR ABDUL AZIZ, SiRAH RASULULLAH,
10 SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA” Jika orang-orang bawahan kita ditimpa sesuatu
musibah atau ujian berat dari Allah, lindungilah mengikut kemampuan, ziarahlah
melihat keadaannya.
Dunia
mahkamah sungguh asing bagi seorang guru biasa seperti saya, pun ianya adalah
satu pengalaman yang sangat berharga. Saya dapat melihat sendiri bagaimana
pendakwaan, pembacaan tuduhan, pembicraan berlangsung. Masih ingat lagi tentang
kes bunuh yang dibacakan ketika hariu saya ke mahkamah dan perbicaraan kes
dadah, curi motosikal…. Yang dapt saya lihat dan dengar sendiri.
Berbalik
kes saya, setelah sekian lama akhirnya kes itu dibicarakan dengan pendakwa
mengemukakan 2 pegawai penyiasat, doktor, seorang pegawai puspakom yang
memeriksa kereta saya sebagai saksi . Ketika perbicaraan berlangsung, duduk di
kandang tertuduh itu terasa kaki dan tangan sejuk seakan menanti hukum gantung
walaupun hakikatnya jika kalah dalam kes itu saya setakat dipenjara dan bukan
digantung….
Akhirnya
Mahkamah memutuskan akan memberi keputusan pada 30 September 2009. Saya masih
ingat malam yang damai itu, di mana solat hajat dilakukan secara beramai-ramai.
Tempatnya markas PAS Segamat. Terima kasih kepada PAS kawasan Segamat, pemuda
PAS, muslimat PAS, ibu, anak, isteri, sahabat-sahabat, rakan-rakan guru
sekolah, kenalan rapat setempat tinggal saya dan kurang lebih dalam lapan puluh
orang yang hadir pada malam itu, bersujud memohon kemenangan untuk saya dalam
kes itu.
Lalu 30
September 2010, apabila saya masuk ke kandang tertuduh selepas nama saya
dipanggil. Saya masih ingat segala-galanya. Mulut saya kumat-kamit membaca lima
ayat awal surah Thoha, apabila peguam saya C.C Ayathurai (dibiayai sepenuhnya
oleh pihak KPPK) bangun memaklumkan “Hari ini telah ditetapkan untuk keputusan”
Majistret
muda. Seingat saya namanya Mohamad Azhar Arif menganggukkan kepala sambil
sekilas memandang wajah saya dan kemudian terus membacakan keputusan. Begini
bunyinya;
“Setelah mempertimbangkan hujah-hujah pihak
pendakwaan dan pembelaan. Mahkamah berpuashati dan mendapati pihak pendakwa
gagal mewujudkan prima facie terhadap tuduhan. Oleh itu mahkamah memutuskan
Encik……………….. didapati tidak bersalah, dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya”
Dam!
Majistret mengetuk tukul kayu yang lazim dan terus bangun berlalu. Selepas itu
terdengar laungan “Bangun”, saya menoleh kepada ibu dan kakak yang duduk di
kerusi dalam mahkamah di belakang saya. Kedua-duanya berpelukan sambil
menangis. Saya menekup wajah. Cuba menahannya… Pun airmata saya gugur jua……..
Syukur kepadaMu Ya Allah! ENGKAU yang memberi ujian! ENGKAU jua yang memberi
kemenangan…….. -suarainsan
No comments:
Post a Comment