Baju Melayu bukanlah fesyen terbaru dan umum menerima bahawa
untuk lelaki, fesyennya ialah “Cekak Musang”. Fesyen ini juga diterima-pakai
sebagai pakaian rasmi untuk majlis yang membabitkan istana dan kerajaan. Johor,
bagaimanapun mempunyai kelebihan dengan fesyen baju Melayu Teluk Belanga. Dan
menambah seri kepada kelebihan ini ialah cara pemakaian sampingnya sama ada
dagang luar atau dagang dalam.
Menurut Dato’ Ayub Mion, Penasihat Pembangunan Negeri Johor,
cara pemakaian samping sedemikian dipercayai dipelopori pada zamam pemerintahan
Sultan Abu Bakar. “Sejak itu sehinggalah ke era pemerintahan Almarhum Sultan
Ismail, pemakaian samping dagang luar dikhususkan pada kerabat raja dan
golongan bangsawan. “Bagi orang kebanyakan pula, jika mereka ingin memakai samping,
ianya mestilah dagang dalam,” jelasnya.
Ayub yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri kerap
dirujuk. Beliau berkata pada 1981, Sultan Iskandar menitahkan bahawa tidak
harus ada perbezaan mengenai cara pemakaian samping untuk dipadankan dengan baju
Melayu Teluk Belanga dengan samping dagang luar boleh dipakai oleh sesiapa
sahaja.
Mengenai cara mengikat kain samping, Ayub berkata ianya sama
untuk kedua-duanya iaitu dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya
bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). “Bahagian kanan
samping berada di atas. Bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan
dengan tali pinggang ataun bengkong.
“Kepala kain pula diletakkan di sebelah belakang,” jelasnya.
Dato’ Ayub juga berkata pemakaian samping dagang dalam yang
dipadankan dengan jaket ala-Nehru amat popular di negeri ini. “Fasyen ini
dikenali sebagai baju kehormat yang kerap dipakai oleh Menteri Besar dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri. “Bagi
yang kerap berada di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan pada hari
Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bermesyuarat, pasti pernah
melihat mereka memakai pakaian begini,” katanya. Fesyen ini, kata Ayub dengan
penuh bangga sambil menggayakan baju kehormat itu, hanya dapat dilihat di Johor
sahaja. Menurutnya songkok tinggi empat inci pula kerap dipakai untuk
melengkapkan penampilan sang jejaka sama
ada berbaju Melayu Teluk Belanga atau baju kehormat dengan samping dagang dalam
atau dagang luar.
![]() |
Berdagang Dalam |
Berdagang Luar |
1 comment:
Tidak dinafikan cekak musang antara favourite design baju melayu, ditambah pula kini dengan cutting slim fit, ikut citarasa semasa. Mungkin cutting ini sesuai utk susuk badan tertentu, tapi sedikit sebanyak nampak perubahan taste pemakaian ikut peredaran zaman
Post a Comment