Saturday 13 May 2017

kekitaan bermula di sekolah

Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Muar: Semua tenaga pengajar di negara ini tanpa mengira jenis aliran atau sekolah kebangsaan perlu menyemai perpaduan dalam kalangan murid masing-masing bagi melahirkan masyarakat penyayang tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Selain usaha tenaga pengajar, kementerian perlu mewujudkan subjek perpaduan bagi memupuk hubungan antara kaum di sekolah termasuk jenis aliran. Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Mas’ood Idris berkata, "Subjek itu relevan kerana mampu menjadi teras kemajuan negara pada masa depan. Perpaduan berbagai bukan saja antara kaum, malah perlu ditentukan kaum itu sendiri. Jika dalam satu-satu kaum dia tidak boleh bersatu, sudah tentu lebih untuk mendapat kesepaduan dengan kaum lain."

“Semua pihak di pelbagai peringkat perlu memikirkan cara terbaik dan menentukan perpaduan sentiasa menjadi teras kemajuan negara terutama bagaimana mahu melaksanakannya di sekolah,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5, semalam.

Beliau berkata, pengenalan subjek itu sekurang-kurangnya menjadi sinergi terhadap matlamat Sekolah Wawasan yang sebelum ini diperkenalkan dengan tujuan sama iaitu memupuk perpaduan antara kaum melalui pendidikan.

“Banyak cadangan yang kita baca dan dengar daripada pelbagai pihak bahawa sekolah satu aliran atau menggunakan satu bahasa kebangsaan akan menambah perpaduan negara, saya memang bersetuju.

“Jika memecahkan aliran sekolah ini kepada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, ia sedikit sebanyak akan mengurangkan dalam konteks kita mahu menyatupadukan semua kaum di peringkat awal,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Negeri Johor berkata, mengambil contoh rakyat Indonesia yang mempunyai jati diri tinggi, perkara sama boleh diterapkan melalui penggunaan satu bahasa namun tidak meminggirkan bahasa asal sesuatu kaum.

“Kita berbeza, sejak di peringkat sekolah rendah sudah terpisah daripada segi aliran bahasa, komuniti sendiri, jadi sukar untuk menyatukan mereka apabila meningkat dewasa.

“Saya rasa memang ada masalah, saya secara peribadi menyokong, tetapi kita kena ingat, bahasa ini kita tidak boleh lupuskan. Sebagai contoh, kita mengambil kira menggunakan bahasa Malaysia seperti Indonesia.

“Jika di peringkat sekolah rendah mereka sudah boleh bersatu dan berada di dalam satu halaman, di dalam bilik darjah, makan bersama, dari situlah boleh dikatakan mereka menghormati satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan di peringkat sekolah rendah dan menengah yang diperkenalkan dengan tujuan sama tidak dilaksanakan secara menyeluruh berikutan ketiadaan peruntukan.

“Sepatutnya kita tidak bergantung kepada peruntukan semata-mata dan boleh menggerakkan sendiri bersandar kemampuan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 4:59 AM



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...