Thursday 11 September 2014

UPSR bocor memalukan tetapi tidak mengejutkan, kata PAGE

Khamis, 11 September 2014


Berita kebocoran kertas peperiksaan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak mengejutkan kumpulan Parent Action Group for Education (Page) kerana kejadian serupa didakwanya berlaku hampir setiap tahun.

Bagaimanapun, pengerusi Page Datin Noor Azimah Abdul Rahim menyifatkan kebocoran soalan kertas peperiksaan 018, 023 dan 038 itu "berita yang sangat buruk."


Kementerian Pendidikan mengesahkan isi kandungan kertas soalan tersebut tersebar menerusi laman sosial dan mengumumkan ia ditangguhkan ke 30 September daripada jadual asalnya esok.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dalam satu pesanan di akaun Twitternya memohon maaf kepada murid Tahun 6 yang terlibat.

"Setiap tahun kita dengar tentang soalan bocor. Tetapi sebenarnya, Lembaga Peperiksaan meletakkan syarat yang sangat ketat sebelum mengesahkan kebocoran benar-benar terjadi," kata Noor Azmiah apabila dihubungi.

"Oleh kerana itu, mereka terus melakukannya berulang kali kerana mereka percaya mereka boleh lepas dari dikenakan tindakan."

Menyifatkan ia "memalukan," Noor Azimah berkata pusat tuisyen merupakan sebahagian pihak yang boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana dalam usaha mereka menarik pelajar, mereka akan membekalkan kertas peperiksaan bagi menyiapkan pelajar menduduki peperiksaan.

"Ini strategi pemasaran pusat tuisyen. Mereka memberi gambaran salah kepada anak-anak yang mereka tidak boleh berjaya dengan cemerlang sekiranya tidak diberi contoh kertas peperiksaan.

Menyeru kerajaan mengambil tindakan keras atas mereka yang didapati bersalah, Noor Azimah berkata kementerian mesti menyemak semula proses berkaitan menyediakan kertas peperiksaan dan memastikan bagaimana kebocoran boleh terjadi.

Beliau bagaimanapun hairan mengapa Putrajaya memutuskan penangguhan kertas itu ke tarikh yang sangat lewat.

"Mengapa lambat sangat? Itu soalan utamanya. Mereka sepatutnya sudah bersedia dengan set kertas soalan 'back-up'," katanya.

Kebocoran kertas soalan dalam peperiksaan utama dilaporkan berlaku hampir setiap tahun kebelakangan ini.

Tahun lepas, laporan dibuat selepas kertas Matematik dan Matematik Tambahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa dibocorkan dalam sebuah seminar.


Bagaimanapun, polis kemudian menafikan perkara itu, mengatakan soalan tersebut hanya soalan ramalan lapor The Malaysian Insider

Sumber

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...